Hilal Rejab & Sya'ban - internet edition

Renungan

Isra' dan Mikraj

Ketika Nabi berada diperingkat mennghadapi tekanan yang makin bertambah,dakwah Islamiyah mencapai kejayaan dan menghadapi penindasan, Allah swt. telah menjemput kekasih-Nya menjadi tetamu dalam perjalanan Isra’ dan Mi’raj untuk melihat alam yang luas.Diperlihatkan juga pada baginda nabi-nabi dan rasul-rasul yang telah lalu.Para ulama’ telah berselisih faham pada menentukan tarikh berlakunya Israa’ dan Mi’raj.Namun begitu tarikh yang paling disepakati ialah 27 Rejab sebelum Hijrah.

Isra’ bermaksud perjalanan di waktu malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Muqadis.Mi’raj bermaksud perjalanan selepas melalui tujuh langit ke tempat yang tidak diketahui oleh makhluk akan hakikatnya.Allah telah menyebut peristiwa Isra’ dan hikmatnya dalam Al-Quran surah Al-Isra’ ayat 1 dan juga menyebut kisah Mi’raj dan hikmatnya dalam surah Al-Najm ayat 13-18.

Imam-imam ilmu hadis meriwayatkan kisah Isra’ dan Mi’raj secara terperinci di mana nabi Allah S.A.W. menjadi tetamu Allah sehingga hilangnya rasa dukacita dan hina oleh kaumnya.Ia membuktikan ketinggian tugas rasul yang dikurniakan kepadanya iaitu menyeru ke arah agama Allah.

Isra’ dan Mi’raj berlaku dengan roh dan jasad.Ia adalah perkara luar biasa yang menguji keimanan manusia terhadap Allah.Di dalam perjalanannya terdapat pengajaran, amaran dan tanda-tanda kemuliaan ke atas orang yang beriman.

Perjalanan yang jauh itu berlaku dalam satu malam.Rasulullah dibawa dengan Buraq, sejenis binatang kenderaan yang pantas diiringi malaikat Jibril.Pertama-tamanya menuju ke Masjidil Aqsa dan singgah di beberapa tempat untuk melihat perkara yang menjadi cabaran dalam perjuangan lalu dan akan datang iaitu cabaran iblis, syaitan, manusia, jin serta kehidupan dunia.

Ditunjukkan betapa mulianya orang yang berjaya dalam hidup dan kerugian orang yang terpesong dalam hidupnya.Apabila tibanya di Masjidil Aqsa baginda bersembahyang dengan para ambiya’.Baginda diuji dengan rasa dahaga dan diberi beberapa jenis minuman lalu Rasulullah memilih susu iaitu minuman fitrah.Ini menggambarkan betapa Islam adalah agama fitrah dan betapa bersihnya jiwa Rasulullah yang membawa agama fitrah itu.

Kemudian berlakulah Mi’raj di mana Rasulallah saw. Dibawa ke langit hingga bertemu Allah.Pada malam ini Rasulullah saw telah menerima perintah yang besar iaitu solat fardhu lima waktu.Diberi ganjaran yang besar kepada sesiapa yang menunaikannya dengan beriman dan ikhlas.Sesungguhnya banyak tanda-tanda kekuasaan Allah,contoh dan tauladan serta bukti kerasulan dalam peristiwa Isra’ dan mi’raj .

Rasulullah saw selamat pulang di waktu paginya.Apabila peristiwa ini dikhabarkan, orang-orang kafir mendustakannya dan mempersendakannya.Keadaan ini memaksa sahabat nabi saw Saidina Abu Bakar untuk mempertahankan Rasulullah dengan membenarkan kata-katanya.Oleh sebab tindakan itu,Saidina Abu Bakar telah diberi gelaran Al-Siddiq iaitu suatu gelaran yang cukup tinggi martabatnya.

Isra' dan Mikraj Mengandungi Hikmat Yang Besar

Isra’ dan Mi’raj bukan sekadar peristiwa biasa atau hanya sekadar untuk peribadi Rasulullah saw,tetapi merupakan perisytiharan bahawa Rasulullah saw adalah rasul yang paling mulia dan penghulu segala nabi.Hubungan Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa yang menjadi kiblat semua agama semawi hendaklah disedari oleh kaum Bani Israel bahawa ia telah berpindah kepada Bani Ismail lantaran kekufuran kaum Bani Israel

Isra’ dan Mi’raj menjadi titik perbezaan di antara rasul yang sebelumnya yang suatu masa dahulu terhad kepada sesuatu kaum sahaja sedangkan kerasulan Nabi Muhammad saw adalah untuk seluruh umat manusia yang hidup di dunia pada akhir zaman ini.Baginda menjelaskan bukan sahaja tentang hubungan manusi dengan manusia tetapi juga hubungan antara makhluk dengan tuhannya dan juga dengan makhluk lain.Selain itu baginda juga menceritakan tentang peranan manusia sebagai khalifah dan sebagai hamba Allah.

Kepada orang-orang yang beriman kepada Allah mestilah yakin dan bahawa Isra’ dan Mi’raj itu boleh berlaku dengan roh dan jasad.Masalah masa dan jarak jauh adalah urusan Allah dan bukan urusan Makhluk.Ini menunjukkan kekuasaan Allah melakukan apa sahaja.Allah juga berkuasa menghapuskan apa-apa halangan dan rintangan yang boleh menghalang manusia mengikut apa yang difikirkan oleh manusia.Justeru itu pemikiran manusia bukan semestinya betul.

Mereka yang tidak mencapai ma’rifah Allah dalam ertikata yang sebenar akan membuat pelbagai andaian tentang peristiwa tersebut lau mereka menjadi sesat dan seterusnya menyesatkan orang ramai.Kemampuan akal yang terbatas menyebabkan kita tidak dapat menafsirkan peristiwa tersebut.

Balik Ke Indeks Hilal Rejab & Sya'ban 1420



Segala yang terkandung di dalam laman web ini adalah hakcipta ® Badan Dakwah Dan Kepimpinan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu.Anda dibenarkan mengambil unsur-unsur yang dipaparkan dalam laman web ini TETAPI mestilah dengan mendapat kebenaran dari Ketua Webmaster terlebih dahulu.

Laman ini paling afdhal dilayari
menggunakan